Tuesday 7 November 2017

19 AJARAN SESAT MASIH AKTIF DI SELANGOR


SHAH ALAM - Sebanyak 39 ajaran dan amalan yang difatwakan menyeleweng serta sesat di Selangor telah dikenal pasti setakat ini dengan 19 daripadanya masih bergiat aktif, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini diberitahu hari ini.


 Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata tiga daripada 19 ajaran sesat yang masih aktif itu didapati mampu mengancam ketenteraman awam serta berbahaya  kepada negara.
“Tiga ajaran tersebut adalah fahaman Syiah yang boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam kerana menolak prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah, serta ajaran Millah Abraham kerana menjalankan usaha menjadikan negara baharu selain menghasut pengikutnya melakukan apa juga tindakan untuk mencapai objektif ajaran meskipun bertentangan dengan norma masyarakat.
“Selain itu, fahaman kumpulan militan Daesh juga didapati boleh mengancam ketenteraman awam kerana mempromosi ideologi keganasan dan merekrut  anggota untuk aktiviti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Khasim Abdul Aziz (PAS-Lembah Jaya) mengenai ajaran sesat yang masih aktif di Selangor serta ancamannya kepada ketenteraman awam.
Terdahulu, Dr Ahmad Yunus (PAS-Sijangkang) memberitahu persidangan Dewan, antara ajaran sesat yang dikenal pasti di Selangor adalah golongan anti hadis, fahaman Syiah, tarikat Samaniah, ajaran Millah Abraham, ajaran Al-Arqam, Aurat  Islamiah Mahmud Haji Abdul Rahman, pemikiran liberalisme, dan ajaran Ilmu Makrifat Kenali Diri.
Beliau berkata sebanyak 246 tangkapan penganut ajaran yang difatwakan sesat itu telah dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun ini dan 31 tangkapan pada 2016 selain 75 tangkapan pada 2015.
Ahmad Yunus memaklumkan bahawa usaha membanteras ajaran sesat itu mengambil masa panjang dan bukan gerak kerja yang mudah kerana ia memerlukan kerjasama berterusan daripada semua pihak.
— BERNAMA

No comments: