Saturday, 8 July 2017

SALEEM STABIL, MUS MAY MASIH KOMA.. SEMOGA SEGERA PULIH SEPERTI SEDIAKALA...

Dalam kegembiraan yang selalu dirahmati, tidak kurang juga khalayak dikejutkan dengan berita duka seperti pemergian pelakon veteran kelahiran Singapura, Osman Zailani, Rabu lalu.

Peminat dunia hiburan juga dikejutkan dengan khabar sedih apabila vokalis rock, Mus May yang kini masih ditahan dalam wad Hospital Ampang, Selangor. Belum sembuh kesakitan Mus, penyanyi legenda Saleem Iklim, 55, pula dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kerana demam panas berpanjangan.
Beliau yang masih dipantau di pusat pakar hospital tersebut bagaimanapun kembali stabil dan kelihatan bersemangat terutama apabila dikunjungi sahabat terdekat.
“Beres, saya okey. Selama ini jarang sakit. Saya takut hospital dan ubat tetapi sekarang kena ikut arahan doktor, ‘nok wat guano’ (mahu buat macam mana),” katanya cuba berseloroh walaupun masih dalam keadaan lemah, seperti memetik Kosmo.
Saleem dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan pada pagi Selasa lalu selepas mengadu terlalu lemah akibat demam panas dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius.
“Biasanya Saleem mahu makan ubat pun payah tetapi kali ini dia yang minta dibawa ke hospital,” jelas isterinya, Julia Bachok, 55.
Kata Julia, dia cukup berterima kasih kepada penyanyi Ameng Spring yang sanggup datang menemani mereka di hospital sehingga selesai urusan kemasukan ke wad.
Setelah beberapa hari dirawat, situasi Saleem yang sebelum itu sangat merisaukan mulai stabil apabila sudah ada selera makan dan mahu bersembang dengan kenalan yang datang.
Kesempatan menziarahi Saleem sekitar pukul 12 tengah hari semalam turut memberi ruang kepada Julia menjelaskan keadaan sebenar penyanyi popular kelahiran Terengganu itu kepada seluruh khalayak.
Sejak kelmarin, bukan sahaja kisah Saleem yang dimasukkan ke hospital mengejutkan ramai, bahkan khabar angin kematian beliau mula tular di media sosial serta turut dikongsikan secara meluas menerusi grup aplikasi WhatsApp sehingga menimbulkan kekeliruan.
“Saya jadi marah dan kesal dengan sikap penyebar berita palsu tersebut. Individu yang gemar sebarkan berita begitu macam orang tidak beragama. Sepatutnya, bertanyalah dulu untuk kepastian. Saya harap pihak yang menyebarkan berita kematian Saleem segera memohon maaf kerana keadaan dia masih okey.
“Saya juga memohon semua yang mengenali Saleem agar mendoakan dia segera sembuh seperti sediakala dan kembali boleh menyanyi kerana itu mata pencarian kami sekeluarga,” jelas Julia beremosi ketika ditemui Kosmo!.
Sehubungan itu, menurutnya, doktor juga masih memantau situasi suaminya sebelum membuat keputusan untuk melakukan pembedahan membuang ketumbuhan pada testis Saleem dalam tempoh tiga hari bermula semalam.
Semasa ditemui, Saleem yang kelihatan ceria turut diziarahi Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandes, Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, Rahmat Mega dan penyanyi era 1980-an, Dwen.
Dalam pada itu, mengulas tentang situasi sebenar yang sedang ditanggung pelantun lagu Satu Kesan Abadi itu, Julia berkata, demam panas yang dihidapi Saleem sudah berlarutan sejak Ramadan. Beliau semakin lemah selepas menjayakan persembahan di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada hari raya keempat, 28 Jun lalu.
“Selepas dibawa ke PPUKM, doktor mengesahkan demam panasnya berpunca daripada kuman akibat ketumbuhan pada testisnya.
“Kini kuman tersebut telah merebak ke paru-paru. Tekanan darahnya yang rendah juga membuatkan keadaannya semakin lemah,” jelas Julia yang setia menemani Saleem di hospital. - suara.tv


Sehari sebelum itu, penyanyi kumpulan May, Mus yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat demam panas masih dalam keadaan koma.
Menurut isterinya, Suraya Bahari, doktor meletakkan Mus dalam keadaan koma bagi membolehkannya berehat.
“Semalam doktor melakukan ujian imbasan otak terhadap Mus dan mengesahkan keadaannya normal.
“Malah jantungnya juga berada dalam keadaan stabil,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
 Katanya, ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) akan dilakukan selepas ini bagi mengenal pasti punca penyakit dihadapi oleh Mus.
“Doktor akan memaklumkan perkembangan kesihatan Mus dari masa ke semasa,” katanya.-Malaysiakini

Post a Comment