Tuesday 7 March 2017

KENYATAAN SSM DAN KEMENTERIAN KEWANGAN TENTANG STATUS KELAYAKAN BR1M2017


MAKLUMAN SSM TENTANG STATUS KELAYAKAN BR1M 

Kuala Lumpur, 7 Mac 2017 – Merujuk kepada kenyataan bahawa sesiapa yang telah mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak layak menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) adalah tidak benar. 


Di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, pemilik perniagaan tidak perlu menyerahsimpan penyata kewangan di SSM. Oleh itu, tidak timbul sebarang isu bahawa penolakan BR1M ini adalah berkaitan dengan pendaftaran perniagaan di SSM kerana tiada apa-apa maklumat yang dapat SSM salurkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melainkan perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh pemohon kepada LHDNM. 

Selain itu, pendaftaran perniagaan juga bukanlah untuk mendapatkan data bagi tujuan percukaian oleh pihak LHDNM. Pendaftaran perniagaan hanya bertujuan untuk mewujudkan sebuah entiti perniagaan yang sah di sisi undang-undang serta layak mengikat kontrak perjanjian dengan pihak bank / agensi kerajaan, membantu waris menuntut hak harta atau wang daripada perniagaan yang diusahakan serta melindungi pengguna dan peniaga daripada sebarang bentuk urusniaga yang tidak adil. 

Mengenai Skim 1Pelajar 1Pendaftaran Perniagaan (1P1P) yang diperkenalkan oleh SSM bermula 1 Januari 2017, skim ini membolehkan 2 para pelajar mendaftarkan perniagaan secara percuma di bawah Corporate Social Responsibility (CSR) SSM untuk menggalakkan golongan berkenaan berkecimpung di dalam bidang perniagaan serta memastikan perniagaan mereka sah di sisi undang-undang. Mengaitkan Skim 1P1P dengan kegagalan seseorang menerima BR1M adalah TIDAK BENAR. 

Secara dasarnya, pengagihan BR1M hanya melibatkan isi rumah yang berpendapatan RM4 ribu, RM3 ribu, dan RM2 ribu ke bawah (bujang). Sesiapa sahaja yang berpendapatan melebihi syarat yang ditetapkan dikategorikan sebagai tidak layak menerima BR1M meskipun seseorang itu penjawat awam, pekerja swasta, bekerja sendiri termasuk memiliki sijil pendaftaran perniagaan SSM dan syarikat. Jelas di sini, kegagalan seseorang penerima BR1M tidak mempunyai sebarang signifikan terhadap pendaftaran SSM yang dilakukan. 

Sepertimana maklumat terkini yang dipaparkan di laman portal e-br1m, permohonan yang berstatus ‘tidak lulus’ TIDAK perlu hadir ke SSM untuk sebarang pengesahan. SSM percaya bahawa LHDNM mempunyai pendekatan terbaik serta penjelasan yang tersendiri dalam mengagihkan BR1M ini. Pemohon boleh hadir ke mana-mana cawangan LHDNM semasa tempoh rayuan (3 April 2017 sehingga 31 Mei 2017) untuk permohonan rayuan BR1M 2017. 

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berkenaan perkara ini, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada pihak LHDNM atau mendapatkan maklumat lanjut di laman portal ebr1m.hasil.gov.my. 

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) TARIKH : 07 MAC 2017





BERIKUT KENYATAAN DARI KEMENTERIAN KEWANGAN ....

BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA 2017

1. Secara keseluruhan, seramai hampir 6,320,769 permohonan telah diluluskan bagi menerima BR1M 2017 yang merangkumi bantuan RM1,200 kepada 3,242,048 penerima isirumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan kebawah, bantuan RM900 kepada 291,918 penerima isirumah yang berpendapatan bulanan diantara RM3,001 hingga RM4,000, dan bantuan RM450 kepada 2,786,803 penerima individu yang berpendapatan bulanan RM2,000 dan kebawah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.41 billion.

2. Merujuk kepada kegagalan permohonan yang berkaitan dengan data pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pemohon boleh membuat permohonan rayuan dengan mengemukakan penyata pendapatan atau penyata akaun bank yang berkaitan kepada LHDN semasa tempoh rayuan bagi mengesahkan maklumat pendapatan pemohon. Dimaklumkan juga, pemohon tidak perlu mendapatkan apa-apa pengesahan daripada SSM.

3. Bagi mereka yang gagal dalam permohonan BR1M 2017, surat dan email pemakluman akan dihantar kepada pemohon yang akan menjelaskan sebab kegagalan dan juga kaedah rayuan. Permohonan rayuan boleh dibuat secara percuma di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk di Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Urban Transformation Centre (UTC) yang terdekat sehingga 31 Mei 2017 dengan mengisi borang rayuan dan mengemukakan borang tersebut bersama dokumen sokongan yang berkaitan seperti penyata gaji, penyata pendapatan, penyata akaun bank (syarikat atau persendirian) dan salinan kad pengenalan pasangan/tanggungan terkini seperti yang dinyatakan didalam surat/email.

4. Selain itu, penerima sediada yang ingin mengemaskini maklumat terkini seperti maklumat waris dan alamat surat menyurat juga boleh berbuat demikian dengan mengunjungi mana-mana cawangan LHDN, PKH dan UTC yang terdekat dalam tempoh rayuan.

5. Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88- 2716 serta email kepada: br1m@treasury.gov.my

Kementerian Kewangan 7 Mac 2017

No comments: