Thursday 9 February 2017

POLIS THAILAND TAHAN RAKYAT MALAYSIA ADA KAITAN DENGAN 'RAJA DADAH'


BANGKOK: Polis Thailand telah menghubungi pihak berkuasa di Malaysia bagi meminta kebenaran untuk menyiasat seorang rakyat tempatan yang kemungkinan terlibat dengan suspek ‘Raja Dadah’, Xaysana Keopimpha.

Warga Malaysia, Kamarudin Awang telah ditahan di Kelantan pada Isnin selepas polis Thailand menangkap seorang lelaki yang menggelarkan dirinya jutawan, Xaysana di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
“Kami telah menghubungi Polis Malaysia,” jelas Ketua ketua Biro Pencegahan Narkotik Thailand (NSB) Pol Lt-General Sommai Kongwisaisuk pada Rabu.
Beliau menyifatkan Kamarudin sebagai individu yang memudahkan aliran rangkaian dadah dari Utara Thailand masuk ke Malaysia sejak beberapa tahun ini.
“Saya mendapat laporan ketika dia ditahan sebelum ini, lebih BT30 juta tunai ditemui, tersembunyi dalam paip PVC ,” katanya.
Sommai berkata, pihaknya percaya kedua-dua mereka, Kamarudin dan Xaysana adalah Raja Dadah.
Timbalan Ketua NSB Pol Mej General Pornchai Charoenwong berkata, pihaknya kini sedang menyiasat harta-harta yang berkaitan dengan Xaysana.
“Kami menjangkakan senarai penuh semua asetnya akan lengkap pada 10 Februari ini,” katanya.
Beliau berkata pihak berkuasa juga akan menyiasat status kewangannya minggu depan.
Sebelum ini, pihak berkuasa Thailand mendakwa lelaki warga Laos itu didisyaki mendalangi sindiket penyeludupan dadah di seluruh rantau itu menggunakan selebriti dan orang terkemuka di Thailand serta Laos dalam kegiatan pengubahan wang haram dan menyembunyikan aset hasil kegiatan jenayah itu.
Kegiatan yang dijalankan oleh Xaysana di Thailand mula terbongkar selepas pihak berkuasa negara itu menahan tiga lelaki di wilayah Udon Thani di timur laut Thailand Ahad lepas dan merampas 720,000 pil metamfetamin. -MS.

No comments: