Monday 6 February 2017

LEPAS SEMUA JAWATAN JAMAL BERHASRAT BUKA KEDAI JUDI HARAM ?


Sejak minggu lalu, antara individu yang begitu hangat diperkatakan oleh ramai pihak adalah Datuk Seri Jamal Md Yunus, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi Gabungan NGO yang lebih dikenali sebagai Gerakan Baju Merah.
Semuanya gara-gara penahanan beliau di IPD Ampang Jaya atas tuduhan menceroboh beberapa premis “hiburan keluarga” di sekitar Ampang dan Sungai Besar.
Penahanan beliau ini telah menimbulkan polemiknya yang tersendiri kerana dikalangan penyokong, penahanan Datuk Seri Jamal ini tidak sepatutnya berlaku kerana beliau hanya mendedahkan bagaimana kegiatan perjudian tanpa lesen serta aktiviti rumah urut begitu berleluasa di Selangor sejak Pakatan Harapan menerajui Selangor pada 2008.
Pada hari pembebasannya hari ini di IPD Ampang, tiada siapa menyangka bahawa beliau mengumumkan untuk meletakkan semua jawatan yang disandang termasuk Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan Gabungan NGO yang beliau ketuai. Beliau tidak memberikan sebarang alasan perletakkan jawatannya sewaktu mengumumkan perkara ini, petang tadi.
Pengumuman ini nyata mengejutkan penyokongnya yang berhimpun di IPD Ampang bagi menyambut pembebasan beliau dan 8 yang lain. Manakan tidak, sebelum di tahan, beliau langsung tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berundur dari jawatannya namun setelah dibebaskan, secara tiba-tiba beliau mengumumkan perkara demikian.
Sebagai rekod, Datuk Seri Jamal telah menerajui UMNO Bahagian Sungai Besar dan antara rekod terbaik yang pernah beliau catatkan adalah, membantu calon Barisan Nasional, Budiman Mohd Zohdi memenangi Parlimen ini sewaktu Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar, Jun tahun lalu.
Beliau dilihat lebih menumpukan perhatian kepada aktivis kemasyarakatan apabila beliau antara individu yang berani berhadapan dengan kumpulan BERSIH sehingga mewujudkan Gerakan Baju Merah di negara ini. Tindakan berani beliau mendedahkan begitu banyak premis perjudian haram dan rumah-rumah urut di Selangor telah menyaksikan dirinya menjadi sasaran beberapa kumpulan kongsi gelap.
Mungkin Datuk Seri Jamal mahu berehat sebentar dari sebarang aktiviti yang sebelum ini beliau lakukan tanpa sebarang upah dan sukarela. Berilah peluang untuk beliau berehat dahulu sebelum beliau memutuskan apa tindakan selanjutnya demi mendedahkan kepincangan pembangkang di Selangor.

No comments: