Saturday 14 January 2017

SIAPA 'ABANG JO' SEBELUM MENJADI KETUA MENTERI SARAWAK KEENAM


YAB Datuk Amar Abg Hj. Abd. Rahman Zohari b. Tun Abg Hj. Openg datang daripada keluarga yang selalu ingin berjasa kepada tanah airnya.  Hampir semua rakyat negeri Sarawak masih mengingati dan mengenali Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee iaitu, Yang di-Pertua Negeri yang pertama yang juga ayahanda YAB Datuk Amar Abg Hj. Abd. Rahman Zohari.
Beliau dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri setelah Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu bersama-sama Sabah, dan Singapura dalam pembentukan Malaysia pada 1963.  Beliau memegang jawatan tersebut dari 1963 hingga beliau meninggal dunia pada 28 Mac,1969.
Abg Hj. Abd. Rahman Zohari lahir pada 4 Ogos 1950 di Limbang. Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Merpati Jepang dan kemudian ke Sekolah St Joseph di Kuching bagi mendapat pendidikan menengah.  Setelah tamat bersekolah, Abg Hj. Abd. Rahman Zohari  terbang ke England bagi melanjutkan pengajian di peringkat universiti.Beliau kemudian bekerja dengan syarikat swasta termasuk pernah berkhidmat dengan syarikat penerbangan negara, Malaysian Airlines.
jbtn-buso-abg-jo00
Perjalanan Politik
Perjalanan politik Abang Johari pada peringkat awal tidaklah terlalu sukar. Beliau memenangi pilihan raya kecil dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok pada tahun 1981. Dua tahun kemudian, pada 1 Mac 1983, beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud.
Lapan bulan selepas itu, dalam bulan ogos tahun yang sama beliau menjadi Timbalan Ketua Pemuda PBB  setelah menang tanpa bertanding. Kedudukan beliau itu membuka beliau untuk menang mudah dalam Pilihan Raya negeri Sarawak tahun 1983 apabila mengalahkan Abang Ariffin Abang Sebli (BERSATU) dengan majoriti 8,596 undi. Abang Johari melangkah setapak lagi dalam kerjaya politiknya apabila pada 9 Mac 1984, beliau telah dilantik menjadi Menteri Muda Wilayah dan Pembangunan Sosial Sarawak.
Kedudukannya dalam parti menjadi lebih kukuh apabila diangkat menjadi Naib Presiden PBB pada 27 September 1986. Jawatan itu beliau sandang untuk penggal 1986/1989. Setelah menyertai politik, beliau menyambung pengajiannya sehingga memperolehi ijazah MBA daripada  sarjana daripada Brunel University pada tahun 1988.
saberkas abg jo_0000
Pada tahun 1987 berlangsung sekali lagi pilihan raya Negeri Sarawak. Sekali lagi Abang Johari bertanding atas tiket BN-PBB dan kekal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Satok  setelah mengalahkan Wan Ali bin Tku. Haji Madhi  dari parti PERMAS dengan majoriti 5,585 undi. Ini adalah kemenangan beliau untuk penggal kedua. Pada 12 Mac 1987 Abang Johari mendapat jawatan Menteri penuh dalam barisan kabinet negeri Sarawak.
Beliau diangkat menjadi Menteri Pertanian dan Kemajuan Masyarakat, Sarawak. Setelah itu kedudukan Abang Jo dalam parti menjadi bertambah kuat apabila dipilih tanpa bertanding untuk menjadi Naib Presiden, PBB untuk penggal 1989/ 1992. Setelah itu kedudukan Abang Jo dalam parti kelihatan menjadi semakin kukuh kerana jawatannya sebagai Naib Presiden PBB terus kekal bagi  bagi tahun 1992/1995  dan bagi tahun 1995/98.
Dalam pilihan raya negeri yang berlangsung pada tahun 1991 Abang Johari memenang  kerusi Dewan Undangan Negeri Satok buat penggal ketiga.  Sokongan ahli parti dalam PBB terhadap Abang Jo tidak pernah pudar. Bahkan beliau dengan mudah memenangi pertandingan tiga penjuru untuk kerusi Timbalan Presiden PBB  untuk penggal 1998/2001. Dalam pertandingan yang sengit itu, Abang Jo mengalahkan dua tokoh besar dalam PBB, iaitu Datuk Abang Abu Bakar Mustapha dan Datuk Adenan Satem.
Apabila pilihan raya negeri berlangsung sekali lagi pada tahun 1996, Abang Jo berjaya mempertahankannya untuk penggal keempat di kerusi DUN Satok dengan mengalahkan calon bebas Sharkawi Faisal Othman dengan majoriti undi sebanyak 5,820. Dalam pilihan raya umum negeri yang berikutnya pada tahun 2001, di kerusi yang sama, Abang Jo mengalahkan calon Parti Keadilan, Zulrosdi Muhammad Hol dengan majoriti undi sebanyak 2,859. Dan itu merupakan kemenangan beliau untuk penggal kelima sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.
Dalam perhimpunan PBB tahun 2002 Abang Jo terus mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PBB. Abang Jo kemudian mempertahankan kerusi Satok buat kali keenam apabila  mengalahkan Mohamad Jolhi (PKR) dengan memenangi majoriti undi 2,798.
Pada 3 Mac 2010 Abang Jo menang tanpa bertanding kerusi Timbalan Presiden II, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak untuk penggal 2010/2013.
Pada 16 April 2011, sekali lagi Abang Jo mengekalkan kerusi Satoknya dalam pilihan raya umum negeri dengan mengalahkan Ahmad Nazib bin Johari seorang ahli Parti Keadilan Rakyat dengan majoriti 2800 undi. Dalam pilihan raya negeri tahun 2014, sekali lagi kerusi  DUN itu dimenanginya.
abg jo bazar satok_0008
Tahan lasak, jujur dan sabar
Setiap kali terbetik berita Bekas Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud akan melepaskan jawatannya, setiapkali itulah nama Abang Jo dikaitkan sebagai calon yang akan menggantikannya. Namun demikian, apabila Taib Mahmud benar-benar melepaskan kedudukan kerusi yang sangat lama disandangnya itu, tiba-tiba orang yang tidak mempunyai kedudukan yang kanan pula diangkat naik.
Walau bagaimanapun, Abang Jo terus bekerja seperti biasa. Beliau tetap bekerja untuk parti dan rakyat. Beliau tidak memprotes. Tidak merajuk. Jauh sekali memberontak. Semangat setia kawan sentiasa dikekalkan.  Namun beliau tetap menaruh harapan. Telah berkata Robert H. Schuller, “Never cut a tree down in the wintertime. Never make a negative decision in the low time. Never make your most important decisions when you are in your worst moods. Wait. Be patient. The storm will pass. The spring will come. “
Beliau mengutamakan kepentingan parti. Beliau jujur dan ikhlas. Dan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Segala sifat terpuji ayahanda beliau diteladaninya. Bertuahlah Negeri Sarawak memiliki puteranya yang sabar ini. Nah, kini Abang Jo bersedia meneruskan khidmat baktinya untuk bumi Sarawak yang dicintainya. Selamat berkhidmat Abang Jo!
Roosfa Hashim, adalah penulis beberapa buah biografi. Buku Beliau Perjalanan Politik Khaled Nordin : Sebuah Biografi memenangi Buku Terbaik Kategori Biografi Dalam Anugerah Buku Negara 2016. 

Tahniah YAB Datuk Amar Abg Hj. Abd. Rahman Zohari b. Tun Abg Hj. Openg atas pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu. Beliau baru sahaja mengangkat  sumpah menjadi Ketua Menteri Sarawak. Patah tumbuh, hilang berganti. Sungguhpun yang tumbuh dan yang mengganti tidak mungkin akan sama dengan yang patah dan yang hilang, namun rakyat Sarawak memang tidak kurang pemimpin pelapis yang berwibawa.  Pemimpin yang baru ini bukanlah calang-calang orang.
Ketua Menteri Sarawak yang baru meninggal dunia, Allahyarham Adenan Satem akan tetap dikenang kerana beliau mempunyai prinsip yang yang jelas dalam menolak perkauman dan keagamaan yang sempit.
Dalam tempoh kepimpinannya yang singkat Allahyarham terkenal menuntut royalti minyak untuk Sarawak, memerangi pembalakan haram, menghapuskan tol di Sarawak, memperjuangkan hak autonomi bagi Sarawak dan membendung kemasukan kaum pendatang. Sesungguhnya, dengan kematian Adenan Satem, Sarawak kehilangan sinar untuk memulakan suatu era politik yang baharu. Sarawak kehilangan seorang puteranya yang berjasa.
Sarawak akan terus maju di bawah kepimpinan YAB Datuk Amar Abg Hj. Abd. Rahman Zohari b. Tun Abg Hj. Openg. Pertama, rakyat Sarawak amat akrab dengan sejarah dan latar belakang keluarga beliau. Kedua, beliau bukanlah muka baru dalam barisan kepimpinan negeri Sarawak. Ketiga, beliau memiliki sikap bekerja berpasukan, tahan lasak, jujur dan sabar.
Sarawakvoice

No comments: