Friday 18 November 2016

ARAB SAUDI NAFI HAPUSKAN CAJ BAYARAN UMRAH KALI KEDUA


JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menafikan khabar angin yang mengatakan kerajaan menghapuskan caj bayaran bagi umat Islam yang menunaikan Umrah buat kali kedua dan seterusnya.


Pegawai Pusat Maklumat kementerian tersebut, Usama Khan mengesahkan kepada portal Arab News bahawa tiada maklumat atau pengumuman yang dibuat oleh pihak kementerian bahawa caj tersebut dimansuhkan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin di media Pakistan dan laman sosial yang mendakwa caj tersebut dihapuskan.

Ketua Eksekutif Global Hajj and Umrah Private Service Ltd dari Pakistan, Tahir Mahmood juga mengesahkan kepada Arab News bahawa tiada arahan sedemikian dibuat oleh kerajaan Arab Saudi.

Berdasarkan pengumuman Arab Saudi baru-baru ini, caj sebanyak 2,000 riyal (RM2,323) bagi mereka yang mengerjakan umrah atau haji buat kali kedua atau seterusnya.

Selain Pakistan, portal-portal berita di Indonesia pada Khamis juga menyebarkan khabar angin yang sama termasuk memetik kenyataan Menteri Agama negara itu yang disiarkan dalam laman sosial Twitter.

“Alhamdulillah, Raja Salman (Saudi Arabia) batalkan biaya visa haji & umrah,” tulis menteri tersebut Lukman Hakim Saifuddin seperti dilaporkan portal berita detik.com.

Susulan khabar angin berkenaan itu, Kementerian Agama Republik Indonesia masih menunggu pengesahan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung pembatalan kos kenaikan harga vias haji dan umrah.

“Berita tentang pembatalan kos itu telah tersebar, tetapi kami masih menunggu kenyataan rasmi daripada Arab Saudi,” kata Pengarah Pusat Maklumat dan Perhubungan (Pinmas), Mastuki menerusi laman web rasmi kementerian tersebut.-MS.

No comments: