Saturday 22 October 2016

DUN BELIA PERAK BERSIDANG KALI KEDUA


IPOH - Dun Belia Perak yang bersidang buat kali kedua akan membahaskan tujuh usul di Dewan Negeri yang berlangsung dua hari bermula hari ini.


Persidangan yang bermula pada sembilan pagi itu dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Dun Belia Perak, Salbiah Mohamed dan disusuli dengan bacaan doa dan sesi mengangkat sumpah.

Salbiah dalam ucapan ringkasnya berkata, persidangan kali ini diharap mampu untuk menyerlahkan potensi belia sebagai pemimpin dan pelapis negara serta memberi kesan positif kepada pembangunan belia negara secara keseluruhannya.

Persidangan bermula dengan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Usahawan, Pelancongan dan Pengantarabangsaan, Mohd Saffek Mohd Saleh bangun mencadangkan supaya kerajaan negeri menjadikan home of silveryouth (hos) sebagai pusat kecemerlangan sosio ekonkmi belia.

Selain itu, enam lagi cadangan yang akan dibahaskan ialah usul peningkatan guna tenaga belia dan wanita dalam pelbagai sektor dan cadangan strategi dan usaha ke arah pembangunan sukan negeri.

Perwakilan juga memberi cadangan memperkasakan golongan belia melalui program pembangunan modal insan, pelaksanaan kempen kesedaran berkenaan etika penggunaan media sosial.

Persidangan kali ini juga turut menumpukan cadangan mengekalkan kelestarian alam sekitar dan kepentingan pengurusan sisa pepejal serta peranan dan tanggungjawab belia dalam memerangi masalah penyalahgunaan dadah.

Dun Belia Perak merupakan inisiatif yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan ia antara lain bertujuan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda berkaliber dan berwibawa sejajar keperluan negeri masa kini dan akan datang.

Tindakan kerajaan negeri menubuhkan Dun Belia kata Zambry  bukan sekadar tayangan atau pameran tetapi merupakan keazaman kerajaan membentuk pelapis bagi mencorak kehidupan masa depan.

Ia merupakan platform terbaik untuk belia mengetengahkan cara baharu melihat sesuatu isu, keterbukaan dalam membahaskan isu berkaitan kepentingan rakyat dan negeri serta memberikan cadangan atau idea yang bersifat di luar kebiasaan. - SH

No comments: